Thursday 24 January 2013

Isu Semangat Kejiranan


Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Sejak belakangan ini, semangat kejiranan dan hubungan silatulrahim dalam kalangan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar tidak utuh. Faktor penyumbang utama ialah sifat mementingkan diri sendiri bak kata pepatah’seperti enau melepaskan pucuk masing-masing’. Trend ini menyebabkan berlaku jurang pemisah sosial terutama dalam kalangan jiran yang berlainan bangsa. Langkah-langkah yang pragmatik harus diambil supaya masalah ini dapat diatasi segera jika tidak masalah ini akan menular seperti’api dalam sekam’.

Langkah pertama ialah dengan mengadakan aktiviti sosial seperti gotong-royong. Pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa persatuan penduduk harus menjalankan aktiviti sebegini bagi mewujudkan satu platform di mana ahli masyarakat dapat bekerjasama dan beramah-mesra. Aktiviti sebegini bertindak seperti serampang dua mata kerana dapat mengeratkan hubungan antara jiran dan mengindahkan kawasan sekitar sekaligus. 

Langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan majlis ramah-tamah seperti rumah terbuka. Majlis ini sesuai diadakan sewaktu sambutan perayaan. Majlis ramah-tamah boleh diadakan secara besar-besaran yang melibatkan ahli politik dan diadakan di dewan serbaguna. Program yang lebih besar ini dapat memberi peluang kepada segenap penduduk untuk berkenal-kenalan. Sementara itu, aktiviti lain seperti persembahan seperti tarian, nayanyian dan lakonan boleh diselitkan sewaktu majlis ramah-tamah.Ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dan mencungkil bakat peserta.

Di samping itu, agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Rakyat boleh mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti sukaneka . Hal ini demikian kerana aktiviti menarik ini akan mendapat sambutan daripada yang muda kepada yang tua.Balai raya, gelanggang badminton, padang boleh digunakan sepenuhnya untuk aktiviti ini. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Konklusinya, langkah-langkah di atas akan dapat menjadi pelopor untuk membentuk rakyat Malaysia yang mementingkan jiran dan mementingkan perpaduan. Tidak dapat dinafikan perpaduan amat penting untuk menentukan kemajuan sesebuah Negara. ‘Rakyat bersatu Negara maju” harus menjadi pegangan kita semua.

2 comments: