Thursday 24 January 2013

Isu Internet


Penggunaan internet telah menjadi satu kemestian atau keperluan dalam kehidupan masyarakat. Internet merupakan sistem komunikasi yang menyalurkan maklumat dan menghubungkan manusia seluruh dunia. Penggunaan Internet semakin mendapat sambutan memandangkan sistem komunikasi canggih ini boleh digunakan melalui komputer riba dan telefon. Internet mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri bergantung kepada penggunanya.


Kebaikan yang jelas ialah kita dapat menerima maklumat dengan cepat dan mudah melalui penggunaan internet. Kita boleh mendapatkan maklumat hanya dengan satu sentuhan jari. Sebelum era internet sebarang maklumat sukar didapati dan melibatkan kos dan masa yang keterlaluan tetapi kini semua maklumat tersedia. Lantaran itu, bergantung kepada kita sebagai pengguna samada mahu menggunakan atau tidak. 

Selain itu, kebaikan internet yang utama ialah kegunaan asasnya, iaitu perkongsian. Internet membolehkan maklumat dikirim dan diterima dengan cepat. Fungsi ini memudahkan kehidupan harian manusia apabila hendak berkongsi maklumat dari segi data, imej atau video. Contohnya, perkongsian data melalui facebook, twitter, e-mail, chat. 

Kebaikan internet juga menyumbang kepada pembangunan positif dalam perniagaan. Manfaat ini dirasai oleh semua orang. Internet dijadikan pentas baru bagi peniaga-peniaga untuk menemui pasaran baru mereka. Perniagaan online kian mendapat sambut baik akibat pengguna internet mula mahir membuat pembelian belakangan tahun ini. Hal ini kerana galakan dan dorongan kerajaan juga, memandangkan bisnes global ini menguntungkan ekonomi negara. 

Sebaliknya, tidak dapat dinafikan bahawa internet walaupun memberikan banyak maklumat kepada kita, tetapi ada sesetengah maklumat yang diperolehi tidak tepat. Lebih menyedihkan jika maklumat tersebut adalah tentang manusia, agama atau bangsa. Maklumat yang tidak benar sebegini boleh kadang-kala menyebabkan pelbagai masalah. Misalnya, maklumat yang salah tentang seseorang individu boleh menyebabkan individu tersebut menanggung malu. Jelaslah, pengguna harus bijak menapis maklumat yang diperoleh. 

Internet juga terdedah kepada pelbagai jenis virus seperti Trojan, Melware, Worm dan sebagainya, Virus-virus ini boleh memberi berbagai-bagai kesan negatif kepada perisisan komputer dan data di dalamnya. Oleh itu, kita mesti menyediakan perisian anti virus dan berhati-hati apabila memuat turun sebarang maklumat. 

Keburukan internet yang paling membahayakan adalah keran mengandungi bahan-bahan yang tidak bermoral. Contoh yang paling nyata adalah gambar-gambar dan video-video yang tidak bermoral untuk ditonton oleh budak-budak dan remaja. Sedikit sebanyak bahan-bahan tidak bermoral ini akan mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara yang sama. 

Konklusinya, walaupun terdapat kebaikan dan keburukan, internet menjadi keperluan seharian. Oleh itu, kita sebagai pengguna, kita haruslah bijak menggunakanya. Ibu bapa juga harus memantau penggunaan internet oleh anak-anak dari masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment