Sunday 19 May 2013

KARANGAN BERFORMAT PERBAHASAN


KARANGAN BERFORMAT PERBAHASAN
Perbahasan

(Tips Penting)

1) Karangan jenis perbahasan mengkehendaki anda menyatakan hujah-hujah sama ada menyokong ataupun membangkang sesuatu tajuk yang telah diberikan.

2) Karangan jenis perbahasan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

(a) perbahasan berbentuk pertandingan
- anda dikehendaki berpendirian tetap serta perlu mematuhi segala prosedur perbahasan yang sepatutnya
- anda haruslah memulakannya dengan kata-kata hormat atau kata alu-aluan. Contohnya, Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengetua, Guru Penolong Kanan, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang yang amat saya geruni, guru-guru, murid-murid, serta tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

(b) perbahasan bukan pertandingan (berdasarkan tajuk)
- anda hanya perlu memberikan perhatian kepada format perbahasan seperti kata alu-aluan dan kata-kata penghadapan
- anda hendaklah terus menulis hujah-hujah utama sahaja tanpa mengemukakan kata alu-aluan dan seumpamanya. Calon harus memulakan karangan dengan mendefinisikan tajuk, membahaskan tajuk mengikut kehendak soalan, dan mengegaskan pendirian anda terhadap tajuk tersebut.

3) Tajuk karangan jenis perbahasan biasanya berkaitan dengan perkara-perkara yang dapat menimbulkan dua pendapat yang bertentangan, iaitu sama ada menyokong atau membangkang sesuatu isu atau tajuk yang diberikan.

4) Sebelum menulis karangan perbahasan, anda harus jelas akan pendirian yang perlu diambil supaya penulisan anda nanti tidak mengelirukan.

5) Segala hujah anda haruslah tepat, meyakinkan, matang dan logik, serta menjawab kehendak soalan.

6) Semua fakta yang anda ajukan haruslah dihuraikan serta mempamerkan tahap kematangan yang dapat diterima oleh pemeriksa.

7) Gunakan bahasa yang mudah, tepat, padat dan meyakinkan. Hindarilah daripada menggunakan bahasa yang berbelit-belit atau berbunga-bunga.

8) Andai kata anda berperanan sebagai pihak pencadang, anda haruslah membentangkan hujah-hujah yang menyokong tajuk. Begitulah sebaliknya jika sebagai pembangkang, anda mesti mengutarakan hujah-hujah yang menentang tajuk serta perlu mematahkan hujah-hujah pihak pencadang dengan memberikan alasan yang meyakinkan.

9) Pada bahagian kesimpulan atau penutup, anda harus menegaskan semula dan merumuskan hujah-hujah yang telah dikemukakan lebih awal.














Format karangan perbahasan


(Kata alu-aluan + pengenalan dari tajuk bahas)
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________. Kata penegas


(Isi 1)
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(Isi 2)
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(Isi 3)
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(Penutup)
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Contoh karangan

1. Anda mewakili pihak pembangkang dalam suatu pertandingan perbahasan yang bertajuk “Aktiviti menonton pita video mendatangkan banyak kesan negatif kepada kehidupan kita”. Tulis hujah anda selengkapnya.

Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang adil lagi bestari, barisan pencadang yang saya hormati, dan hadirin sekalian. Salam sejahtera dan selamat pagi.

Kini tibalah masanya untuk saya bangun bagi mengenukakan hujah-hujah saya sebagai pembangkang pertama tajuk perbahasan pada pagi ini. Sebelum itu, izinkan saya menghuraikan definisi tajuk perbahasan kita pada pagi ini. Pita video merupakan perisian yang digunakan bersama-sama sejenis perkakasan, iaitu alat perakam video. Alat ini mampu mengeluarkan imej gambar dan suara melalui peti televisyen. Kesan negatif pula ialah akibat yang tidak membawa kebaikan atau keuntungan. Oleh itu, apa-apa yang kita bahaskan hari ini ialah kesan atau akibat yang dibawa oleh pita video dalam kehidupan kita masa kini.

Sesungguhnya pita video banyak memberikan kebaikan atau manfaat bagi kita. Dengan adanya pita video, seseorang itu tidak lagi perlu ke panggung wayang untuk mencari hiburan dengan menonton filem. Hal ini akan mengelakkan seseorang itu keluar rumah dan hubungan antara ahli keluarga akan bertambah erat. Pertukaran pita video antara jiran dan rakan-rakan juga akan mengeratkan perpaduan dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Menonton video juga merupakan suatu hiburan yang menjimatkan kerana satu pita video yang disewa adalah jauh lebih murah daripada harga tiket pawagam.

Hadirin sekalian,
Menonton pita video juga dapat mengisi masa lapang kanak-kanak atau orang tua di rumah. Masa lapang di rumah yang sebelum ini dihabiskan dengan melakukan berbagai-bagai perkara lain akan diisi dengan menonton video. Mereka tidak berasa bosan lagi tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Pita video sebenarnya mampu menjadi alat pembelajaran yang paling berkesan. Berbagai-bagai tajuk dan bidang perkara yang dirakamkan mampu menjadi alat bantuan dalam pendidikan. Hal ini demikian kerana menonton tayangan video menggabungkan dua deria, iaitu pandang dan dengar. Kajian telah membuktikan bahawa kemampuan seseorang itu mengingat dan belajar banyak bergantung pada panacindera pandang dan dengar. Maka tidak hairanlah kini terdapat berbagai-bagai judul pita video di pasaran yang dapat memenuhi selera semua orang. Oleh itu, menonton video merupakan aktivi yang tidak menjemukan.

Warga dewan sekalian,
Pita video juga mampu merakamkan setiap rancangan yang dipancarkan melalui kaca televisyen. Faktor ini dapat menyumbang terhadap pengurusan masa seseorang. Rancangan yang telah dirakam boleh ditonton pada hari dan masa mengikut selera penontonnya sendiri. Belajar dengan menggunakan pita video juga amat murah dan menguntungkan. Satu pita video dapat digunakan beberapa kali yang kita suka.

Penggunaan pita video ini juga telah mengakibatkan beberapa buah panggung wayang ditutup. Sebagai ganti, panggung-panggung wayang ini digunakan untuk berbagai-bagai fungsi pula. Ada yang dijadikan pusat beli-belah, pusat hiburan, pusat permainan u dan restoran. Hal ini merupakan suatu perkembangan yang sihat kerana sekali gus akan mempelbagaikan kegiatan perniagaan dan mewujudkan persaingan perniagaan di sesuatu tempat.

Hadirin sekalian,
Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak bersetuju dengan tajuk perbahasan kita yang menyatakan bahawa menonton pita video banyak mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan.

Sekian, terima kasih.








2. Anda telah mengambil bahagian dalam suatu pertandingan perbahasan antara sekolah. Sebagai pihak pencadang, sediakan hujah-hujah anda bagi tajuk “Belajar di universiti dalam negara lebih baik daripada luar negara”.
Sediakan hujah anda selengkapnya.

Selamat sejahtera dan selamat pagi saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang yang disegani, guru-guru, murid-murid, dan hadirin yang dohormati. Pada hari yang ceria ini, saya akan membahaskan tajuk perbahasan kita, iaitu “Belajar di universiti di dalam negara lebih baik daripada luar negara”. Saya selaku pencadang bersetuju sepenuhnya dengan tajuk perbahasan pada hari ini.

Sebelum saya membahaskan tajuk ini dengan lebih lanjut, mari kita sama-sama meneliti dahulu maksud yang terungkap di sebalik tajuk tersebut. “Belajar” bererti berusaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan, Manakala “dalam negara” bermakna tanah air sendiri dan “universiti” pula bermakna badan yang ditubuhkan untuk melakukan tugas-tugas pengajaran yang lebih tinggi.

Hadirin yang dihormati,
Seperti yang kita sedia maklum, kos untuk belajar di universiti tempatan adalah lebih murah dan rendah berbanding dengan belajar di universiti luar negara. Hal ini demikian kerana perbelanjaan untuk pengajian di luar negara merangkumi kos tiket penerbangan ke destinasi negara tersebut, penginapan, makanan, dan bayaran yuran yang mahal. Tambahan pula kadar tukaran mata wang asing yang tinggi turut menambah kos keseluruhan. Hal ini tentu membebankan pelajar.

Selain itu, di negara ini juga telah banyak pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta yang ditubuhkan dan setaraf dengan universiti luar negara. Antaranya, Universiti Malaya, Universiti Multimedia, Universiti Telekom, dan sebagainya. Pada masa yang sama, kerajaan juga telah mengimport tenaga pengajar asing untuk meningkatkan kualiti pengajian tinggi di negara ini. Oleh hal yang demikian, kita perlu menyahut seruan kerajaan supaya meneruskan pengajian di dalam negara. Tambahan pula, segala kemudahan serta kepakaran di institut tempatan setanding dengan institusi luar negara.


Hadirin yang dihormati,
Belajar di luar negara akan merenggangkan hubungan silaturahim para pelajar dengan sanak saudara. Hal ini demikian kerana mereka akan berada jauh dari sisi keluarga dan tidak akan dapat menikmati belaian kasih sayang ibu bapa. Tanpa kasih sayang dan perhatian yang secukupnya, mereka akan mudah terjerumus dengan budaya negatif yanga diamalkan di negara-negara Barat.

Dengan bilangan pelajar di luar negara yang semakin bertambah setiap tahun, pihak kerajaan akan mengalami kerugian dari segi pertukaran wang asing. Hal ini akan memburukkan keadaan ekonomi negara. Jadi, dapatlah ditegaskan di sini bahawa belajar di luar negara merupakan satu pembaziran wang. Sudah terang lagi bersuluh bahawa belajar di universiti di dalam negara lebih baik daripada belajar di universiti di luar negara.

Hadirin yang dihormati,
Nampaknya masa seakan-akan cemburu melihat saya berbicara. Bak kat orang, setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga dengan hujah saya ini. Perbahasan ini akan diteruskan oleh sahabat-sahabat saya untuk menegakkan pendirian kami bahawa “Belajar di universiti di dalam negara lebih baik daripada belajar di universiti di luar negara”. Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin mengutarakan kata-kata hikmat buat renungan hadirin yang dihormati, iaitu “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hujan batu di negeri sendiri”.

Sekian, saya akhiri dengan ucapan terima kasih.







Soalan Latihan

Tulis karangan di bawah. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

1. Sempena Minggu Bahasa di sekolah anda, satu pertandingan bahas diadakan. Tajuk perbahasan itu ialah “Pertanian moden lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan”. Anda mewakili pasukan pembangkang dalam pertandingan bahas itu.
Sediakan teks bahas anda selengkapnya.

2. Anda telah terpilih menyertai suatu pertandingan perbahasan di sekolah. Tajuk perbahasan ialah “Internet lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan”.

Saturday 27 April 2013

Laporan

Laporan Lawatan Kelas 5 Disiplin ke Pameran     Kerjaya di Persada Johor, Johor Bahru.

          Pada 30 Mac 2012 yang lalu, kelas 5 Disiplin telah mendapat peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan dalam hidup. Pada tarikh bahagia tersebut, kelas 5 Disiplin telah diberi peluang oleh pihak sekolah untuk menghadiri Pameran Kerjaya di Persada Johor, Johor Bahru. Peluang yang diberikan ini telah membuatkan setiap pelajar tidak sabar-sabar lagi untuk menimba ilmu pengetahuan daripada lawatan sambil belajar ini. Seramai 40 orang telah terlibat dan dua orang guru pengiring telah mengiringi kami iaitu Puan Najidah dan Cik Nalini Madavan.
          Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang peluang-peluang kerjaya yang sesuai selepas tamat alam persekolahan. Pameran ini telah mendapat tajaan daripada beberapa syarikat korporat seperti Syarikat Buku Ali Sdn. Bhd. dan Syarikat Air Johor. Program ini juga bertujuan untuk memberi maklumat yang terperinci tentang bidang pekerjaan yang terdapat di Malaysia di samping memberikan motivasi kepada para pelajar supaya dapat bersaing dalam arus pembangunan negara. Melalui perkara ini, kami sentiasa berharap supaya setiap peserta akan mendapat manfaatnya.
          Perjalanan kami dengan menaiki bas yang ditaja oleh Syarikat Bas Mayang Sari telah melalui jalan raya yang sibuk. Namun, kami telah tiba di lokasi tepat pada waktunya iaitu pada pukul 8.30 pagi. Disiplin pelajar yang mantarp telah memudahkan guru pengiring untuk membawa kami. Setiap pelajar beratur dengan tertib dan sentiasa peka akan arahan guru pengiring. Guru pengiring telah membawa kami ke meja pendaftaran lalu disambut dengan tangan terbuka oleh petugas pameran tersebut. Hati gembira tidak terkata apabila kami dihadiahkan buku catatan dan sebatang pen oleh pihak penganjur supaya memudahkan kami mencatat maklumat yang berguna untuk dikongsi bersama-sama kawan-kawan di sekolah. Setelah mendaftar, Pegawai Perhubungan Awam Persada Johor iaitu Encik Roslan bin Kaliwon telah menyampaikan taklimat ringkas tentang perjalanan kami dalam program ini secara jelas dan terperinci. Sebaik sahaja taklimat selesai, kami telah dibawa oleh petugas ke ruang pameran yang berlangsung di dewan Sri Cempaka.
          Guru pengiring telah membawa kami melawat ke tapak pameran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Ketika di tapak pameran ini, kami telah mengetahui dengan lebih jelas tentang bidang-bidang yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selepas tamat Tingkatan 5. Kami mendapat maklumat bahawa kos pengajian di IPTA lebih murah berbanding kos pengajian di universiti swasta. Kaunselor yang bertugas juga telah memaklumkan kepada kami bahawa univeristi awam di Malaysia sudah setanding dengan universiti bertaraf antarabangsa. Hal ini demikian kerana banyak universiti di Malaysia telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan contohnya Unversiti Teknologi Malaysia, Univeristi Putra Malaysia dan Universiti Malaya. Kajian-kajian profesor tempatan seperti penciptaan alat pengesan bahan pengawet di dalam makanan juga telah berjaya dicipta. Dalam bidang bahasa pula, hampir seribu orang penuntut asing berkunjung ke univeristi tempatan untuk mempelajari bahasa ibunda kita yang tercinta iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa univeristi awam tempatan sudah setaraf dengan universiti antarabangsa dan kami berharap supaya dapat melangkah kaki ke menara gading pada masa hadapan.
          Selain itu, kami juga telah melawat pameran Angkatan Tentera diRaja Malaysia yang sangat menarik hati. Kami tertarik hati untuk berkunjung ke sini kerana melihat senjata canggih dan kereta kebal yang diletakkan di luar tapak pameran. Kami telah melihat gambar-gambar pasukan tentera Malaysia yang bertugas ketika berada di perbatasan untuk mengawal negara. Kami sedar bahawa tugas sebagai anggota tentera sangat berat kerana ketika kita dibuai mimpi yang indah, mereka bersengkang mata, mempertaruhkan nyawa menjaga keselamatan negara. Dalam pameran ini, kami telah diberi pendedahan tentang tugas sebenar anggota tentera yang bukan sahaja bertugas mempertahankan negara di udara, darat dan laut malah meliputi berbagai-bagai aspek. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama di sini ialah tugas mekanik tentera yang sentiasa menyelenggara kenderaan tempur supaya selamat digunakan ketika menjalankan tugas. Kami juga mendapat tahu bahawa bidang kulinari dalam Angkatan Tentera Malaysia juga sangat penting supaya dapat memastikan tentera negara sentiasa sihat dan cergas untuk menjalankan aktiviti lasak. Melalui lawatan di kios pameran Angkatan Tentera Malaysia ini, jelaslah bahawa tugas anggota tentera itu bukan sahaja mempertahankan negara malahan meliputi banyak lapangan tugas yang berbeza dan mencabar.
          Kami sempat berada di ruang pameran ini selama sejam dan masih banyak lagi tapak pameran yang belum dilawat. Namun, guru pengiring telah mengumpulkan kami untuk bertolak ke sekolah kerana kesuntukan masa. Guru pengiring telah mencadangkan supaya kami melawat lagi pameran ini bersama-sama keluarga tersayang pada hujung minggu. Sepanjang lawatan ini, kami berasa sangat bertuah kerana telah meneroka lautan pekerjaan yang terhidang di Malaysia dan kami juga telah menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengejar cita-cita. Sesungguhnya, lawatan seperti ini sangat bermakna dan kami berharap agar pihak sekolah akan memberi peluang kepada setiap pelajar untuk merasai nikmatnya.


Disediakan oleh,                                                           9 April 2012                                                                                                                          




.....................................
(NEELOFA A/P ALI)
Setiausaha,
Kelas 5 Disiplin,
SMK Sultanah Engku Tun Aminah,
Johor Bahru.

Thursday 25 April 2013

Kesan Kedatangan Buruh Asing


KESAN KEDATANGAN BURUH ASING

Buruh asing merupakan antara pemacu ekonomi negara yang utama di Malaysia. Oleh sebab permintaan untuk tenaga buruh sentiasa meningkat dari hari ke hari dan keengganan rakyat Malaysia untuk memenuhi permintaan tersebut kerana taraf hidup yang semakin tinggi,maka kerajaan terpaksa mengambil tenaga buruh asing dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina,Bangladesh dan Thailand. Dalam tempoh 2002 sehingga 2007,kemasukan buruh asing begitu mendadak. Walaupun kita menghargai sumbangan buruh-buruh asing ini khususnya dalam sektor hartanah,kita tidak patut alpa akan implikasi-implikasi yang dihadapi oleh negara kita akibat peningkatan jumlah buruh asing di sini. Terdapat beberapa kesan kedatangan buruh asing terhadap pelbagai aspek kehidupan di Malaysia yang dapat dilihat secara langsung.

Satu daripada implikasi-implikasinya ialah merebaknya pelbagai penyakit dan masalah sosial. Pada yahun 2007, beberapa penyakit seperti malaria dan taun yang sudah lama tidak wujud di sini kembali merebak tapi dapat diubati dengan mudah. Tetapi bukan setakat merebakkan pelbagai penyakit sahaja, mereka juga membawa bersama penyakit-penyakit sosial yang ada di negara mereka ke negara kita. Contoh penyakit-penyakit sosial yang dibawa oleh buruh-buruh ini adalah seperti pelacuran,permusuhan sesama pekerja,rompakan dan pecah rumah. Sebagai buktinya, beberapa tahun lalu,kegiatan pecah rumah telah berlaku hampir di seluruh kampung sama ada di kawasan desa mahupun di kawasan bandar dan kebanyakan daripada kes-kes yang berjaya diselesaikan menunjukkan kegiatan ini dilakukan oleh buruh-buruh asing ini. Kesan ini telah banyak menyusahkan kita terutamanya para penduduk,pihak polis dan agensi keselamatan. Para penduduk sentiasa dalam ketakutan dan menangggung sejumlah kerugian apabila rumah mereka dipecah masuk dan barangan mereka dicuri. Pihak polis pula terpaksa menambah peruntukan bagi meningkatkan kadar kawalan di seluruh negara serta perkhidmatan mereka manakala kebanyakan agensi keselamatan terpaksa mengambil bekas-bekas anggota keselamatan yang telah bersara. Sampel-sampel ini jelaskan menunjukkan bahawa satu daripada kesan-kesan kedatangan buruh asing ialah merebaknya pelbagai penyakit dan masalah sosial.

Bukan setakat itu sahaja kedatangan buruh asing juga menyebabkan perbelanjaan negara semakin meningkat. Setiap tahun, kira-kira RM 2.5 bilion dihantar pulang sebagai pendapatan asing bagi tenaga buruh asing dan apabila dicampur pula dengan perkhidmatan perubatan percuma serta perkhidmatan sosial lain yang turut dinikmati, kerajaan Malaysia mungkin membelanjakan RM 3 bilion setahun setahun untuk membiayai kedatangan pekerja asing. Laporan media ada menyatakan bahawa sebahagian besar daripada 42 284 banduan pada tahun 2007 yang memenuhi penjara di negara ini adalah warga asing dengan nisbah 4 warga asing bagi setiap 10 orang banduan di negara ini. Menurut kata-kata Datuk Raja Ahmad Zainuddun Raja Omar,ahli Parlimen BN-Larut,kerajaan membelanjakan RM 35 setahun untuk membiayai seorang banduan asing dan apabila didarabkan dengan jumlah banduan asing yang ada, kerajaan telah membelanjakan RM 68 juta setahun untuk membiayai semua banduan asing yang merengkok di dalam penjara meliputi kos makan,gaji pegawai,bil rawatan serta kos mengadakan pelbagai aktiviti untuk para banduan asing. Oleh itu,jelaslah bahawa kedatangan buruh asing meningkatkan perbelanjaan negara.

Kedatangan buruh asing bukan hanya memberi impak kepada kita sahaja malahan kepada mereka juga iaitu para buruh asing menjadi mangsa penderaan oleh para majikan. Kesan ini banyak berlaku di sektor perkhidmatan domestik. Sebagai contoh, pada tahun 2007, lebih 90% daripada 240000 pekerja domestik di Malaysia terdiri daripada warga Indonesia dan kebanyakan pekerja domestik di Malaysia mengalami penderaan psikologi,fizikal dan seksual yang dilakukan oleh agensi buruh dan majikan terutamanya pekerja Indonesia. Sejak beberapa tahun dahulu, badan bukan kerajaan dan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah menerima beribu-ribu aduan daripada pembantu rumah berkaitan masalah penderaan,gaji dan keadaan kerja yang mereka alami. Menurut penyataan LaShawn R. Jefferson,Pengarah di Bahagian Hak Asasi Wanita Di Pemerhati Hak Asasi Manusia dalam suraatnya kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pekerja domestik di Malaysia masih berhadapan dengan kemungkinan penderaan yang kian teruk dan tidak terkawal. Berdasarkan bukti-bukti di atas yang sahih,maka dapatlah kesimpulan awal dibuat iaitu kedatang buruh asing menyebabkan mereka menjadi mangsa penderaan oleh para majikan dan agensi buruh.

Secara relatifnya, terdapat 1001 kesan atau implikasi yang timbul akibat kedatangan buruh-buruh asing di negara kita ini. Mungkin sesetangah orang akan berfikir bahawa menghantar semua buruh asing kembali ke negara mereka merupakan cara yang terbaik tetapi sebenarnya tidak kerana dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Ahmad Kamil Mohamed, seorang penduduk di Segamat menyatakan bahawa kerajaan akan mengalami kerugian besar jika cara di atas dilakukan. Sebenarnya,bukan mudah hendak menyelesaikan masalah ini. Oleh itu,semua latar masyarakat di negara kita mesti memainkan peranan penting dalam usaha membasmi kesan-kesan yang wujud akibat kedatangan mereka kerana bulat air kerana pembetung,bulat masyarakat kerana muafakat.

Langkah-langkah Mengatasi Penyalahgunaan Dadah


Langkah-langkah Mengatasi Penyalahgunaan Dadah


Dasawarsa ini,sama ada kita sedar ataupun tidak,kita telah dihidangkan dengan pembangunan politik,ekonomi dan sosial yang semakin gah di mata dunia. Namun,di sebalik kejayaan itu,kita acap kali tersentak dengan permasalahan penagihan dadah dalam kalangan rakyat kita. Setiap tahun,jumlah penagih dadah semakin meningkat terutama sekali dalam kalangan remaja. Rakyat pula hanya tahu menuding jari mereka pada pihak kerajaan kerana peningkatan yang berlaku. Sememangnya kita telah sedia maklum bahawa penagih dadah sukar untuk meninggalkan najis dadah ini kerana bahan nikotin yang terdapat di dalam dadah yang menyebabkan ketagihan. Golongan penagih dadah ini pula tidak boleh dihalang daripada berhenti menghisap dadah secara tiba-tiba. Mengikut konsep ‘Mencegah itu lebih baik daripada merawat’,jumlah penagih dadah harus dikurangkan daripada mengurangkan jumlah penagih dadah yang perlu dirawat. Oleh hal yang demikian,kita haruslah melaksanakan beberapa langkah yang efektif dan pragmatik bagi mengatasi masalah penagihan dadah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapalah individu yang dapat membentuk peribadi anak-anak. Sabda Rasulullah SAW, “Anak-anak umpama sehelai kain putih,terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada Yahudi,Majusi atau Nasrani”. Oleh hal yang demikian,ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam membantu usaha pencegahan penagihan dadah. Langkah ini perlu dilakukan sejak anak-anak masih kecil lagi persis pepatah Melayu,melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak,Perdana Menteri Malaysia pernah berkata, “Teruskanlah pengukuhan peranan keluarga sebagai institusi masyarakat yang lalu mengimpikan satu generasi bebas dadah”. Menurut kata-kata beliau,institusi kekeluargaan perlulah diperkukuh dan program keluarga sakinah perlulah dilaksanakan pada setiap keluarga. Hal ini adalah demikian kerana keluarga yang berpecah belah merupakan punca anak-anak mudah terjerumus ke dalam gejala negatif seperti menghisap dadah. Oleh sebab itu,ibu bapa perlulah mewujudkan satu suasana harmoni dalam institusi kekeluargaan dan mengambil tahu hal-hal peribadi anak-anak bagi emmbantu kerajaan mencegah masalah penagihan dadah.

Selain itu,masyaraakt juga memainkan peranan penting dalam pencegahan penagihan dadah. Sebagai contoh,Rukun Tetangga,Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang memantau kawasan-kawasan yang sering menjadi sarang penagihan dadah seperti di flat-flat terbiar dan kawasan felda. Tugas masyarakat adalah untuk membuat rondaan dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku kes penagihan dadah. Hai ini adalah disebabkan oleh tempat-tempat penagihan dadah seperti di rumah-rumah kosong perlulah dihapuskan bagi mengelakkan kes penagihan berlaku di tempat yang sama. Hal ini persis pepatah Melayu,seperti pisang berbuah dua kali. Kebanyakan masyarakat pada era globalisasi ini hanya mengetahui konsep ‘man-to-man marking’ digunakan pada permainan bola sepak. Namun demikian,konsep ini juga boleh digunakan sebagai subdaya pencegahan penagihan dadah. Konsep ini diasaskan oleh Claudio Gentile dan telah berjaya melumpuhkan pergerakan penyerang pihak lawan ketika itu iaitu Diego Maradona. Konsep ini juga boleh digunakan dalam pencegahan penagihan dadah. Kita perlulah mendampingi golongan penagih dadah untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Ironisnya,masyarakat juga turut membantu dalam pencegahan penagihan dadah.

Kita sepatutnyaberterima kasih kepada pihak kerajaan kerana telalh membantu mencegah penagihan dadah. Tamsilnya,Karnival 6 Jahanam yang telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Karnival ini bertujuan membenci 6 jenis dadah utama iaitu ganja,syabu,heroin,morfin,opium dan kodein. Pihak kerajaan juga perlulah komited dalam usaha membantu mencegah penagihan dadah dengan melakukan pelbagai aktivitibergiat secara aktif dalam usaha merealisasikan impian negara untuk bebas daripada masalah dadah pada tahun 2015. Tanggal 19 Februari pada setiap tahun telah dipilih oleh pihak kerajaan sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan yang secara tidak langsung dapat mengingatkan bekas penagih dadah akan bahana dadah di samping memberi peringatan kepada masyarakat. Pihak kerajaan juga perlu memperketatkan lagi undang-undang sedia ada seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun1952. Dengan cara itu,masyarakat akan takut untuk terlibat daalm gejala dadah dan sekaligus mengurangkan jumlah penagih dadah yang bertaburan di negara kita.

Satu realiti yang memang tidak dapat diketersampingkan lagi bahawa pihak sekolah turut membantu mencegah penagihan dadah. Impian untuk mendapat murid yang bebas daripada gejala dadah boleh dihasilkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek rohani,jasmani dan intelek. Melalui falsafah ini,murid akan menjadi seorang yang berdisiplin dan tidak mudah terlibat dengan kancah gejala sosial kerana jati diri yang telah dipupuk dalam diri. Selain itu,penerapan unsur nilai murni dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral juga turut membantu mencegah amalan penagihan dadah. Tamsilnya,pelajar tidak akan mendekati najis dadah setelah mengetahui kesannya daripada pembelajaran mata pelajaran di atas. Hal ini secara tidak langsung dapat merealisasikan misi kerajaan untuk melahirkan sekolah bebas dadah menjelang tahun 2012.

Lazimnya,kita mengetahui rakan merupakan tempat mengadu masalah dan meluahkan perasaan. Sebagai rakan yang mengambil perhatian,mereka akan membantu rakan mereka untuk menyelesaikan masalah. Namun di sini,titik mulanya seseorang itu menghisap dadah ialah apabila rakan mereka yang jahat cuba mengajak mereka terlibat dengan kancah dadah. Mengikut sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK ),54.21 peratus penagih dadah berpunca daripada pengaruh rakan. Oleh hal yang demikian,seseorang individu perlulah bijak memilih rakan. Seseorang individu itu juga perlu memantapkan diri mereka dengan jati diri yang kukuh bagi menghadapi arus rintangan yang cuba untuk merobohkan jati diri mereka. Penerapan ilmu agama dalam diri dan pendekatan diri kepada TUHAN dapat membantu meningkatkan jati diri. Oleh hal yang demikian,seseorang individu itu perlulah bijak memilih rakan bijak untuk memikirkan alasan untuk menolak ajakan untuk melibatkan diri dalam kancah penagihan dadah. Ingatlah peribahasa Melayu yang mengatakan janganlah sudah terhantuk baru hendak terngadah yang bermaksud janganlah sudah terlibat dengan gejala dadah baru hendak menyesal.

Sebagai penutup coretan,kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berkolaborasi dengan pihak kerajaan persis pepatah Melayu,bagai aur dengan tebing untuk mencegah penagihan dadah. Cuba bayangkan jikalau negara kita mengandungi ramai penagih dadah,sudah pasti negara akan porak peranda. Banyak kes kecurian berlaku dan institusi keluarga sakinah pasti tidak akan wujud lagi. Hal ini berlaku kerana dadah memerlukan wang untuk dibeli dan seorang penagih sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuk mencuri untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah. Oleh sebab itu,langkah yang efisien dan pantas perlu dilakukan mulai sekarang bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai negara bebas dadah pada tahun 2015.

Saturday 26 January 2013

Cara-cara Menggembirakan Ibubapa


Cara-cara Menggembirakan Ibubapa

Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka.

Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa.

Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa depan yang lebih cerah. 

Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka. 

Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak. 

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

Berjimat-cermat Amalan Mulia


Berjimat-cermat Amalan Mulia 

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedah daripada amalan berjimat-cermat antaranya ialah membolehkan kita menabung. Oleh itu, kita mestilah berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian, ketika menggunakan kemudahan seperti air, elektrik, dan telefon dan sebagainya. Dengan cara ini, wang itu boleh kita simpan bagi tujuan yang lebih berfaedah pada masa hadapan. 

Selain itu, orang yang berjimat-cermat tidak akan membeli sesuatu tanpa perancangan teliti. Mereka menyelidiki dahulu sebelum membeli sesuatu barang supaya pembelian mereka itu berbaloi dengan wang yang telah mereka keluarkan. Pembelian yang tidak cermat boleh menyebabkan kita terbeli sesuatu yang membawa kerugian dan penyesalan. 

Berjimat-cermat juga menggelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri. 

Berjimat-cermat juga bermaksud kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Elakkan daripada menangguh-nangguh sesuatu tugas dan sebagai pelajar, buatlah jadual harian agar kita dapat mengisi masa dengan sebaik-baiknya seperti mengulang kaji pelajaran dan sebagainya. 

Di samping itu amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan seperti sentiasa menutup kembali kipas selepas digunakan. 

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadikan amalan berjimat-cermat sebagai budaya kita. Oleh itu, yakinlah bahawa amalan ini pasti akan membawa kebaikan kepada diri sendiri.

Surat Kiriman Rasmi: Pencemaran Di Kampung Belengu


Surat Kiriman Rasmi: Pencemaran Di Kampung Belengu


Kelab Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Belengu,
28000 Temerloh,
Pahang. 

______________________________________________________

Pegawai Daerah,
Kompleks Kerajaan,
28000 Temerloh, 
Pahang.                                                                                                   02 Oktober 2012 



Tuan, 

PERCEMARAN DI KAMPUNG BELENGU

Berhubung perkara di atas, saya selaku pengerusi Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Belengu ingin memaklumkan kepada pihak tuan tentang masalah pencemaran di Kampung Belengu, Temerloh, Pahang.


2.        Percemaran ini berlaku sebaik sahaja pembukaan operasi kuari di Bukit Ara. Pembukaan ini telah menyebabkan debu-debu berterbangan dan berlakunya pencemaran udara. Banyak penduduk menghidapi asma dan batuk sejak akhir-akhir ini. 


3.        Pembukaan kuari ini juga, telah menyebabkan berlakunya pencemaran air. Sungai yang dahulunya, merupakan sumber ikan yang banyak kini telah tercemar. Airnya pula telah menjadi keruh dan berlumpur.


4.         Kerja-kerja pembukaan ini juga telah menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman penduduk kampung. 


5.         Saya bagi pihak Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Belengu memohon jasa baik tuan untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin. Kerjasama daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih. 

Sekian, terima kasih.



Yang benar, 



(NUR NADIRAH BT. AHMAD) 
Pengerusi 
Kelab Persatuan Alam sekitar,
Sekolah Kebangsaan Belengu, 
28000 Temerloh, 
Pahang.