Saturday 26 January 2013

Cara-cara Menggembirakan Ibubapa


Cara-cara Menggembirakan Ibubapa

Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka.

Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa.

Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa depan yang lebih cerah. 

Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka. 

Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak. 

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

Berjimat-cermat Amalan Mulia


Berjimat-cermat Amalan Mulia 

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedah daripada amalan berjimat-cermat antaranya ialah membolehkan kita menabung. Oleh itu, kita mestilah berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian, ketika menggunakan kemudahan seperti air, elektrik, dan telefon dan sebagainya. Dengan cara ini, wang itu boleh kita simpan bagi tujuan yang lebih berfaedah pada masa hadapan. 

Selain itu, orang yang berjimat-cermat tidak akan membeli sesuatu tanpa perancangan teliti. Mereka menyelidiki dahulu sebelum membeli sesuatu barang supaya pembelian mereka itu berbaloi dengan wang yang telah mereka keluarkan. Pembelian yang tidak cermat boleh menyebabkan kita terbeli sesuatu yang membawa kerugian dan penyesalan. 

Berjimat-cermat juga menggelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri. 

Berjimat-cermat juga bermaksud kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Elakkan daripada menangguh-nangguh sesuatu tugas dan sebagai pelajar, buatlah jadual harian agar kita dapat mengisi masa dengan sebaik-baiknya seperti mengulang kaji pelajaran dan sebagainya. 

Di samping itu amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan seperti sentiasa menutup kembali kipas selepas digunakan. 

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadikan amalan berjimat-cermat sebagai budaya kita. Oleh itu, yakinlah bahawa amalan ini pasti akan membawa kebaikan kepada diri sendiri.

Surat Kiriman Rasmi: Pencemaran Di Kampung Belengu


Surat Kiriman Rasmi: Pencemaran Di Kampung Belengu


Kelab Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Belengu,
28000 Temerloh,
Pahang. 

______________________________________________________

Pegawai Daerah,
Kompleks Kerajaan,
28000 Temerloh, 
Pahang.                                                                                                   02 Oktober 2012 



Tuan, 

PERCEMARAN DI KAMPUNG BELENGU

Berhubung perkara di atas, saya selaku pengerusi Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Belengu ingin memaklumkan kepada pihak tuan tentang masalah pencemaran di Kampung Belengu, Temerloh, Pahang.


2.        Percemaran ini berlaku sebaik sahaja pembukaan operasi kuari di Bukit Ara. Pembukaan ini telah menyebabkan debu-debu berterbangan dan berlakunya pencemaran udara. Banyak penduduk menghidapi asma dan batuk sejak akhir-akhir ini. 


3.        Pembukaan kuari ini juga, telah menyebabkan berlakunya pencemaran air. Sungai yang dahulunya, merupakan sumber ikan yang banyak kini telah tercemar. Airnya pula telah menjadi keruh dan berlumpur.


4.         Kerja-kerja pembukaan ini juga telah menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman penduduk kampung. 


5.         Saya bagi pihak Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Belengu memohon jasa baik tuan untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin. Kerjasama daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih. 

Sekian, terima kasih.



Yang benar, 



(NUR NADIRAH BT. AHMAD) 
Pengerusi 
Kelab Persatuan Alam sekitar,
Sekolah Kebangsaan Belengu, 
28000 Temerloh, 
Pahang.

Thursday 24 January 2013

Isu Internet


Penggunaan internet telah menjadi satu kemestian atau keperluan dalam kehidupan masyarakat. Internet merupakan sistem komunikasi yang menyalurkan maklumat dan menghubungkan manusia seluruh dunia. Penggunaan Internet semakin mendapat sambutan memandangkan sistem komunikasi canggih ini boleh digunakan melalui komputer riba dan telefon. Internet mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri bergantung kepada penggunanya.


Kebaikan yang jelas ialah kita dapat menerima maklumat dengan cepat dan mudah melalui penggunaan internet. Kita boleh mendapatkan maklumat hanya dengan satu sentuhan jari. Sebelum era internet sebarang maklumat sukar didapati dan melibatkan kos dan masa yang keterlaluan tetapi kini semua maklumat tersedia. Lantaran itu, bergantung kepada kita sebagai pengguna samada mahu menggunakan atau tidak. 

Selain itu, kebaikan internet yang utama ialah kegunaan asasnya, iaitu perkongsian. Internet membolehkan maklumat dikirim dan diterima dengan cepat. Fungsi ini memudahkan kehidupan harian manusia apabila hendak berkongsi maklumat dari segi data, imej atau video. Contohnya, perkongsian data melalui facebook, twitter, e-mail, chat. 

Kebaikan internet juga menyumbang kepada pembangunan positif dalam perniagaan. Manfaat ini dirasai oleh semua orang. Internet dijadikan pentas baru bagi peniaga-peniaga untuk menemui pasaran baru mereka. Perniagaan online kian mendapat sambut baik akibat pengguna internet mula mahir membuat pembelian belakangan tahun ini. Hal ini kerana galakan dan dorongan kerajaan juga, memandangkan bisnes global ini menguntungkan ekonomi negara. 

Sebaliknya, tidak dapat dinafikan bahawa internet walaupun memberikan banyak maklumat kepada kita, tetapi ada sesetengah maklumat yang diperolehi tidak tepat. Lebih menyedihkan jika maklumat tersebut adalah tentang manusia, agama atau bangsa. Maklumat yang tidak benar sebegini boleh kadang-kala menyebabkan pelbagai masalah. Misalnya, maklumat yang salah tentang seseorang individu boleh menyebabkan individu tersebut menanggung malu. Jelaslah, pengguna harus bijak menapis maklumat yang diperoleh. 

Internet juga terdedah kepada pelbagai jenis virus seperti Trojan, Melware, Worm dan sebagainya, Virus-virus ini boleh memberi berbagai-bagai kesan negatif kepada perisisan komputer dan data di dalamnya. Oleh itu, kita mesti menyediakan perisian anti virus dan berhati-hati apabila memuat turun sebarang maklumat. 

Keburukan internet yang paling membahayakan adalah keran mengandungi bahan-bahan yang tidak bermoral. Contoh yang paling nyata adalah gambar-gambar dan video-video yang tidak bermoral untuk ditonton oleh budak-budak dan remaja. Sedikit sebanyak bahan-bahan tidak bermoral ini akan mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara yang sama. 

Konklusinya, walaupun terdapat kebaikan dan keburukan, internet menjadi keperluan seharian. Oleh itu, kita sebagai pengguna, kita haruslah bijak menggunakanya. Ibu bapa juga harus memantau penggunaan internet oleh anak-anak dari masa ke semasa.

Isu Semangat Kejiranan


Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Sejak belakangan ini, semangat kejiranan dan hubungan silatulrahim dalam kalangan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar tidak utuh. Faktor penyumbang utama ialah sifat mementingkan diri sendiri bak kata pepatah’seperti enau melepaskan pucuk masing-masing’. Trend ini menyebabkan berlaku jurang pemisah sosial terutama dalam kalangan jiran yang berlainan bangsa. Langkah-langkah yang pragmatik harus diambil supaya masalah ini dapat diatasi segera jika tidak masalah ini akan menular seperti’api dalam sekam’.

Langkah pertama ialah dengan mengadakan aktiviti sosial seperti gotong-royong. Pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa persatuan penduduk harus menjalankan aktiviti sebegini bagi mewujudkan satu platform di mana ahli masyarakat dapat bekerjasama dan beramah-mesra. Aktiviti sebegini bertindak seperti serampang dua mata kerana dapat mengeratkan hubungan antara jiran dan mengindahkan kawasan sekitar sekaligus. 

Langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan majlis ramah-tamah seperti rumah terbuka. Majlis ini sesuai diadakan sewaktu sambutan perayaan. Majlis ramah-tamah boleh diadakan secara besar-besaran yang melibatkan ahli politik dan diadakan di dewan serbaguna. Program yang lebih besar ini dapat memberi peluang kepada segenap penduduk untuk berkenal-kenalan. Sementara itu, aktiviti lain seperti persembahan seperti tarian, nayanyian dan lakonan boleh diselitkan sewaktu majlis ramah-tamah.Ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dan mencungkil bakat peserta.

Di samping itu, agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Rakyat boleh mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti sukaneka . Hal ini demikian kerana aktiviti menarik ini akan mendapat sambutan daripada yang muda kepada yang tua.Balai raya, gelanggang badminton, padang boleh digunakan sepenuhnya untuk aktiviti ini. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Konklusinya, langkah-langkah di atas akan dapat menjadi pelopor untuk membentuk rakyat Malaysia yang mementingkan jiran dan mementingkan perpaduan. Tidak dapat dinafikan perpaduan amat penting untuk menentukan kemajuan sesebuah Negara. ‘Rakyat bersatu Negara maju” harus menjadi pegangan kita semua.

USAHA-USAHA IBUBAPA UNTUK MEMBANTU ANAK-ANAK MEMBUAT PERSIAPAN MENGAHADAPI PEPERIKSAAN


USAHA-USAHA IBUBAPA UNTUK MEMBANTU ANAK-ANAK MEMBUAT PERSIAPAN MENGAHADAPI PEPERIKSAAN

Ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Segala peranan yang dimainkan oleh ibu bapa memberikan impak yang besar terhadap masa depan anak-anak. Kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM amat dinanti nantikan oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak membuat persediaan dalam peperiksaan.

Anak-anak perlu membuat persediaan awal bak kata pepatah ‘Sediakan payung sebelum hujan’.Ibu bapa pula dapat membantu dengan menyediakan segala prasarana seperti bahan bacaan untuk rujukan, alat tulis dan menyediakan kawasan persekitaran yang kondusif untuk mereka mengulang kaji. Suasana yang harmoni di rumah juga penting agar anak-anak dapat belajar dalam suasana yang tenang.

Selain itu, anak-anak mesti bijak membahagikan masa terutamanya apabila menghadapi peperiksaan utama dalam kehidupan mereka. Penyediaan jadual ulangkaji yang sempurna amat penting kerana ‘masa itu emas’. Ibu bapa dapat membantu anak-anak menyediakan jadual waktu ini menggunakan beberapa konsep seperti SWOT. Tambahan pula, mereka boleh memantau segala aktiviti anak-anak agar tidak menganggu proses persiapan anak-anak mereka mennghadapi peperiksaan.

Pemakanan makanan seimbang seperti sayur-sayuran, susu, kekacang dan buah-buahan serta pengambilan vitamin untuk kesihatan diri dan kecergasan juga penting kerana otak yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas dan sihat. Pengambilan makanan yang berkhasiat dapat mempersiapkan diri anak-anak dari segi mental dan emosi. Sokongan sebegini oleh ibu bapa sekali gus akan membantu mengeratkan hubungan kasih sayang dalam diri anak-anak terhadap ibu bapa.

Di samping itu, ibu bapa harus memastikan emosi anak-anak tidak terganggu. Mereka harus berperanan sebagai tempat anak-anak berkongsi masalah dan perasaan. Anak-anak juga harus dilatih memperbanyak doa dan sembahyang dalam tempoh masa terdekat sebelum peperiksaan. Semangat dan dorongan oleh ibu bapa dapat menenangkan dan melahirkan keyakinan dalam diri anak-anak.
Tuntasnya, orang yang terdekat dengan anak-anak ialah ibu bapa, peranan ibu bapa sewaktu anak-anak menghadapi peperiksaan amat penting dan akan memberi sumbangan yang besar dalam keputusan peperiksaan anak-anak. Sehubungan itu, ibu bapa harus meluangkan masa dan tenaga dalam menyediakan cahaya mata mereka menghadapi peperiksaan.
  

Wednesday 23 January 2013

Langkah-langkah Mengatasi Gejala Vandalisme


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME

Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)

Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.(78 patah perkataan)

                                                           (434 patah perkataan)

Sunday 20 January 2013

Kabaikan Gotong-royong dalam Masyarakat


Kebaikan Gotong-royong dalam Masyarakat

Gotong-royong bermaksud sesuatu aktiviti masyarakat yang dijayakan dengan konsep kerjasama, tolong-menolong dan bermuafakat.

Amalan bergotong-royong dapat meringankan kerja-kerja yang hendak dilakukan. Sesuatu kerja yang berat seperti mengadakan majlis kenduri-kendara, mengurus kematian dan membina jambatan dapat dilakukan dengan mudah.

        Gotong-royong ini juga dapat menjimatkan masa wang. Apabila sekumpulan anggota masyarakat melakukan sesuatu kerja,kerja itu dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

         Semangat gotong-royong juga dapat menyemai benih-benih perpaduan dalam kalangan masyarakat.Pada zaman moden ini, penduduk Bandar sibuk dengan tugas seharian sehingga jiran di sebelah rumah pun tidak dikenali.Tetapi, semangat gotong-royong  dapat mengelakkan keadaan ini.

         Kehidupan masyarakat akan bertambah sejahtera melalui amalan gotong-royong ini.Ini adalah kerana sikap bertanggungjawab dan tolak ansur dapat dipupuk melalui aktiviti ini.
 
        ‘Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing’ adalah dasar gotong-royong.Justeru itu, semangat bergotong-royong ini harus dipupuk sejak kecil lagi dalam diri setiap insan.Ini akan mewujudkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab di hari muka.

Pencemaran Alam di Negara Kita


Pencemaran Alam di Negara Kita

Dewasa ini pencemaran alam sekitar di negara kita semakin menjadi-jadi. Hal ini membimbangkan semua pihak.

Antara punca pencemaran udara adalah seperti membakar sampah-sarap di tempat terbuka. Akibatnya, suhu di muka bumi atau suhu global semakin panas dan hidup kita menjadi kurang selesa.

Pencemaran udara juga disebabkan oleh pengusaha kilang yang tidal bertanggungjawab. Terdapat pihak kilang yang melepaskan asap kilang dengan tidak terkawal.

Selain pencemaran udara, pencemaran air juga turut berlaku di negara kita. Segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai.Ini menyebabkan air sungai menjadi cetek dan tercemar.

Pihak kilang juga membiarkan sisa-sisa kilang dilepaskan sungai.Akibatnya, air sungai tercemar dan tidak sesuai untuk digunakan. Malahan habitat sungai turut terancam.

Kesimpualannya, semua pihak haruslah berusaha untuk menjaga keindahan alam sekitar. Sekiranya tidak, anak-anak kita akan mengalami seribu satu masalah nanti.

Saturday 19 January 2013

Faedah-faedah Membaca Buku Cerita


Faedah-faedah Membaca Buku Cerita


Buku cerita merupakan bahan cetak yang amat penting kepada kita. Buku-buku cerita boleh dibahagikan kepada antologi cerpen dan novel. Kita boleh membeli buku-buku cerita dari kedai buku atau dapat dipinjam dari perpustakaan.Kita akan memperoleh banyak faedah daripada pembacaan buku cerita.

Salah satu faedah yang akan kita peroleh ialah tabiat membaca buku cerita. Ini akan menjadi hobi pada diri kita.Hobi ini dianggap mulia oleh semua pihak.

Melalui pembacaan buku cerita, murid-murid dapat memperbaiki penggunaan bahasa mereka.Lama-kelamaan kosa kata si pembaca itu akan bertambah.

Pembacaan buku cerita juga dapat mengisi masa lapang murid-murid dengan cara yang berguna. Mereka tidak akan berlepak dan berfoya-foya sesuka hati mereka.

Selain itu, sesiapa yang berminat untuk membaca buku-buku cerita, dapatlah menghasilkan cerita sendiri.Daya kreatif yang diperoleh melalui pembacaannya akan membantunya menghasilkan cerita.

Melalui pembacaan buku-buku cerita, seseorang itu akan mempelajari nilai-nilai murni.Nilai-nilai murni ini dapat diserapkan secara tidak langsung daripada cerita yang dibaca.

Sesungguhnya membaca buku cerita member faedah yang banyak.Kita seharusnya menjadikan buku cerita sebagai teman sejati kita.

Faedah Mempelajari Ilmu Komputer


Faedah Mempelajari Ilmu Komputer


Pada zaman moden ini, manusia sudah mula berlumba-lumba mempelajari ilmu komputer kerana ilmu ini membawa banyak kebaikan dan faedah.

Baik murid-murid sekolah rendah mahupun sekolah menengah dapat memperoleh maklumat dalam pelbagai bidang. Ilmu komputer meluaskan ilmu pengetahuan seseorang murid.

Kini, seseorang murid boleh melayari laman web yang mengandungi bahan matapelajaran dengan hanya menekan butang papan kekunci komputer. Ini memudahkan murid-murid untuk mengulangkaji kearah peperiksaan.

Pada masa dahulu, segala urusan pejabat perlu dilakukan secara manual. Contohnya, menyimpan maklumat pentadbiran tetapi kini perkaran ini dilakukan dengan penggunaan komputer. Penggunaan komputer memudahkan rekod dan data.

Seseorang yang mahir dalam komputer akan juga mempelajari penggunaan internet.Melalui internet segala perkembangan dunia dapat diketahui dengan begitu cepat. Kita tidak perlu lagi menunggu surat khabar untuk mengetahui peristiwa dunia.Internet membawa pengguna mengelilingi dalam masa sekelip mata.

Memandangkan faedah yang begitu banyak dapat kita peroleh melalui komputer, kita harus menggalakan setiap rakyat di negara kita memepelajarinya.

Friday 18 January 2013

Faedah-faedah Membaca


       
Faedah-faedah Membaca

Amalan membaca merupakan salah satu tabiat yang amat bermanfaat.Semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.
        
      Antara kebaikan membaca termasuklah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Kita dapat mengetahui tentang perkara-perkara baru yang tidak kita ketahui sebelum ini. Pengetahuan am kita akan bertambah luas dan kita akan menjadi lebih bijak.  

       Selain itu, kita dapat mengetahui tentang isu-isu atau perkembangan semasa yang berlaku di dalam negeri dan di luar negara. Contohnya isu kegawatan ekonomi, bencana dan peperangan, krisis air dan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Justeru, kita tidak lagi ketinggalan zaman atau dianggap "seperti katak di bawah tempurung".

       Membaca dapat mematangkan fikiran kita juga. Dengan membaca, kita dapat mengetahui tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Oleh itu, kita didorong untuk berfikir secara lebih baik dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara itu.  

         Masa adalah emas dan perlu digunakan dengan bijak.Membaca buku-buku seperti ini amat bermanfaat.Kita haruslah tanamkan sikap suka membaca buku.Jadikanlah amalan membaca buku amalan harian.  

         Sesungguhnya banyak kebaikan atau faedah yang dapat diperoleh dengan membaca. Justeru, tabiat membaca harus dijadikan amalan seharian. Kita perlu mencontohi sikap masyarakat di negara maju seperti Jepun yang menjadikan membaca sebagai budaya hidup mereka.